Utama > Latar Belakang SERI AL HUDA

05-Sep-2018

Sekolah Rendah Islam Al Huda (SERI AL HUDA) telah ditubuhkan pada tahun 1989 dengan hasrat untuk membentuk Insan Kamil melalui sistem pendidikan yang bersepadu. Ia menyediakan pendidikan sekolah peringkat rendah dengan menyediakan pelajar mulai tahun satu hingga tahun enam. SERI AL HUDA telah berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini sekaligus membolehkan pelajar-pelajar SERI AL HUDA mengambil peperiksaan Penilaian Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Dengan permulaan 33 orang pelajar dan 3 orang guru dan seorang kakitangan sokongan, SERI AL HUDA kini telah berkembang kepada lebih 600 orang pelajar dengan sokongan 55 orang guru dan kakitangan sepenuh masa.


SERI AL HUDA menawarkan pendidikan Islam integratif pada peringkat rendah kepada anak-anak dan menyedari tanggungjawab yang perlu dipikul bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak muslim menjalani sistem pendidikan Islam integratif sebagai persiapan mereka bagi mendepani cabaran globalisasi masakini. Seri Al Huda ingin terus mengorak langkah ke hadapan untuk meningkatkan prestasi dan menjadikan sekolah lebih inovatif dan kompetetif dengan melaksanakan sistem pendidikan Islam dalam menghadapi cabaran zaman masakini. Dengan yang demikian mulai 2007, sekolah telah mengembangkan sayapnya dengan mengendalikan Taski Al Huda. Melalui pengurusan Taski pula, sekolah berharap untuk membantu meneruskan pendidikan anak-anak taski ke alam persekolahan rendah.
Di samping itu juga sekolah serta ibubapa dan guru turut menubuhkan Koperasi Seri Al Huda Berhad, satu-satunya koperasi di peringkat sekolah rendah. Sekolah juga telah mengambil alih perjalanan kantin sekolah dalam usaha mempastikan permakanan murud-murid terkawal dan berkualiti dan menepati konsep Halalan Tayyiban. Perancangan sekolah turut melibatkan kewujudan sebuah sekolah menengah bagi mempastikan kesinambungan pelajaran anak-anak sebelum melangkah ke menara gading.


Kini, sekolah mempunyai 6 blok bangunan yang merangkumi Pejabat Sekolah, 14 buah kelas, surau, pusat sumber, makmal komputer, kantin, ruang legar dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKI) yang didirikan di atas tanah berkeluasan hanya 1.4 ekar di lot 1769-4 Jalan Gombak.


Mulai tahun 2013, tahun-tahun yang mendatang merupakan tahun-tahun yang sangat penting dalam sejarah pembangunan fizikal dan infrastruktur SERI AL HUDA terutamanya dengan bermulanya pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Integratif SERI AL HUDA. Kompleks ini bakal mempunyai satu blok 2 tingkat dan sebuah lagi blok persegi 5 tingkat masing masing di kenali sebagai Blok A, B dan C. Projek Fasa Pertama yang mengandungi bangunan dua tingkat telah memberi tambahan lima buah bilik darjah atau 150 orang pelajar, siap sepenuhnya dan mula di gunakan pada Januari 2015. Manakala fasa 2-1 telah menyiapkan sebahagian blok 5 tingkat persegi dengan siapnya blok dua tingkat pada 2017.